Pembinaan keupayaan untuk merangsang dan meningkatkan aktiviti ekonomi adalah penting, termasuk pembangunan modal insan, pengurusan dan organisasi.
Bagi Kelantan ia memerlukan tindakan bersepadu untuk mengintegrasikan ekonominya dengan ekonomi negeri-negeri lain yang sealiran dengan arus pembangunan nasional, menentukan bahawa aliran pertumbuhan ekonominya adalah seiring dengan kadar pertumbuhan negara keseluruhannya.
Jurang perbezaan pendapatan per kapita harus dikurangkan secara berperingkat-peringkat jika tidak dapat dihapuskan sama sekali.
Kini di akhir 2005 nisbah jurang ekonomi negeri Kelantan adalah hampir 1:2.13 dari pendapatan per kapita nasional, iaitu, RM8,247 bagi Negeri Kelantan berbanding RM17,741 bagi Malaysia seluruhnya. Bahkan ada setengah pendapat bahawa jurang berbezaan pendapatan ini adalah lebih besar sehingga 1:3. Ini bererti jika pendapatan purata Malaysia ialah RM17,741, maka pendapatan per kapita negeri Kelantan ialah RM5,912 sahaja.
Di sebalik perbezaan pendapatan ini, ada yang berpendapat bahawa dari segi pariti (atau kuasa membeli), nilai pendapatan Kelantan adalah lebih tinggi dari nilai pendapatan purata Malaysia seluruhnya.
Dengan lain perkataan, orang yang bergaji RM1,000 sebulan di Kelantan adalah sama dengan orang yang bergaji RM3,000 sebulan di Kuala Lumpur, misalnya, oleh kerana kos hidup di Kelantan adalah lebih rendah.
Pembangunan keupayaan mempunyai dua bentuk, fizikal dan sosial. Pembangunan modal insan ialah pembinaan ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam semua bidang dikalangan rakyat semua golongan dan status sosial, khususnya dalam bidang sains dan teknologi.
Dari segi pembangunan sektor pertanian, misalnya, penggunaan sains dan teknologi adalah amat diperlukan bagi mempertingkatkan produktiviti dan mempelbagaikan pengeluaran melalui pembaikan tanah, penggunaan alat-alat moden, bahan-bahan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) selain daripada keupayaan infrastruktur fizikal seperti parit dan tali air dan jalan raya yang berkeupayaan tinggi (yakni yang mampu digunakan oleh kenderaan berat atau trafik yang tinggi, baik barangan atau penumpang).
Jalan raya di kampung-kampung adalah amat penting sebagai kemudahan untuk meningkatkan keupayaan ekonomi luar bandar, menggalakkan kepelbagaian pertanian dan meningkatkan nilai hasil usaha pengusaha-pengusaha kampung dan memperluaskan pasaran hasil mahsul mereka.
Juga penting ialah kemudahan perhubungan darat, laut, udara dan telekomunikasi di antara Kelantan dengan negara-negara jiran seperti Thailand, Kemboja, Laos dan Vietnam dalam konteks kerjasama negara-negara ASEAN dan dasar perdagangannya, iaitu, Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA).
Setidak-tidaknya perhubungan dua-hala harus dipertingkatkan lagi diantara Kelantan dengan selatan Thailand, dan pada masa yang sama mula mengambil inisiatif bagi mendekatkan Kelantan dengan Kemboja, Laos dan Vietnam demi kemajuan ekonomi geo-politik Kelantan.
Perhubungan ini perlu dimulakan dengan penyertaan para pemimpin politik Kelantan, pegawai-pegawai tadbir negeri, pemimpin-pemimpin dewan perniagaan dan perindustrian, persatuan nelayan, persatuan pembatik, persatuan kraf tangan, persatuan peniagawati, persatuan penternak dan juga diantara pensyarah-pensyarah universiti tempatan dengan universiti-universiti di negara berkenaan.
Matlamat terakhirnya ialah memperluaskan perhubungan perdagangan dan pengaliran pelaburan melalui perkenalan individu, pertukaran maklumat dan peningkatan pengetahuan mengenai sistem pentadbiran, organisasi perniagaan, tabiat pengguna, sistem percukaian, undang-undang kastam dan eksais dan imigresen, adat resam dan budaya masyarakat negara-negara jiran yang berkaitan.
Kelemahan-kelemahan ini perlu dihapuskan sama sekali demi mencapai taraf ekonomi dunia maju dan bukan taraf ekonomi dunia ketiga. Perancangan jangka panjang seharusnya memberi pertimbangan ini sebagai satu aliran penggunaan sumber semula jadi Kelantan.
Sehubungan dengan itu, pembangunan modal insan dalam jurusan industri perkapalan dan marin dari semua aspek harus dimulakan sebagai kurikulum universiti tersebut selain dari jurusan sains dan teknologi tinggi yang mampu memajukan industri tani, bioteknologi, nutraseutikal atau bioteknologi makanan, farmaseutikal atau bioteknologi kesihatan, dan aromatikal atau bioteknologi bau-bauan dan wangai-wangian, iaitu, lima bidang ilmu pengetahuan yang akan menjana kadar pertumbuhan ekonomi rakyat Kelantan di masa hadapan selain dari industri perkapalan yang disebutkan diatas.
Di sini kita nampak dengan jelas bahawa cadangan untuk menubuhkan sebuah universiti di Kelantan sewajarnya dilaksanakan juga demi memberi krebiliti kepada Majlis Kemajuan Kelantan (MKK) dan mendapat sokongan para profesional yang berasal dari Kelantan.
Sementara perhubungan jalan raya, perkapalan, penerbangan, telekomunikasi, air dan elektrik memainkan peranan yang amat penting kepada ekonomi geo-politik Kelantan bersamaan dengan negeri-negeri yang berjiran dengannya. Ini bererti Kelantan akan menjadi lebih maju jika kemudahan infrastruktur seperti jalan raya yang berkeupayaan tinggi diadakan secara meluas, bukan sahaja dengan Terengganu, Pahang, Perak, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur tetapi juga dengan selatan Thailand melalui tiga pintu masuk, iaitu, Pengkalan Kubor, Sungai Golok dan Bukit Bunga dekat Jeli.
Adalah dicadangkan agar Kerajaan membina sebuah lebuh raya 4-6 lorong dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu dan Pengkalan Kubor disempadan Thailand sebagai strategi utama memperkecilkan indeks perasingan dan mempertingkatkan proses integrasi ekonomi Kelantan dengan ekonomi negara dan ekonomi serantau ASEAN bermula dengan pelancaran Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
Industri perkapalan akan dapat mempertingkatkan pertumbuhan ekonomi Kelantan dan juga negara-negara jiran di Asia Tenggara oleh kerana Laut China Selatan adalah kaya dengan sumber laut seperti ikan dan makanan laut yang lain, minyak mentah dan gas asli. Kerajaan harus membuat pertimbangan jangka panjang mengenai kemajuan ekonomi Kelantan secara optimum. Proses pemodenan ini adalah amat penting bagi ekonomi Pantai Timur Semenanjung Malaysia.
Sehingga kini masih banyak kampung yang tidak mempunyai jalan raya yang diturap dengan sempurna untuk membolehkan kenderaan berat menggunakannya. Kerajaan yang memerintah sesebuah negeri seharusnya memberi keutamaan kepada kemudahan-kemudahan infrastruktur, bukan sahaja dalam bentuk jalan raya tetapi juga dalam bentuk bekalan air, api, telefon, hospital dan klinik kesihatan demi keselesaan hidup dan peningkatan produktiviti, sosial status dan jati diri, terutama sekali anak-anak mereka dan juga warga emas yang sedang meningkat bilangannya.
Kalau dahulu strategi membuka rancangan tanah besar-besaran adalah diutamakan, di era abad ke-21, pendekatan baru perlu difikirkan. Apa salahnya kita buka minda kita seluas-luasnya untuk mengadakan industri baru seperti perkapalan, pelayaran, pembinaan limbungan kapal, industri ikan laut dalam, pembinaan hidhrofoil overkraf, feri laju, bot berkuasa tinggi, katamaran dan kapal layar di perairan Laut China Selatan dalam konteks pembangunan serantau negara-negara ASEAN.
Jika kita bina ekonomi Kelantan melalui kejuruteraan marin, perkapalan dan pelayaran, perikanan laut dalam dan industri petroleum dan gas, maka prospek untuk membina industri marin dan pelancongan akan terbuka luas
Oleh: WAN YUSOFF WAN ISMAIL
Tuesday, July 3, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment